APA ITU NUZUL AL-QURAN?
- 28 Mac 2024
- 2 min membaca
Seperti yang kita semua sedia maklum al-quran adalah kitab suci penganut agama Islam. Kepercayaan penganut agama Islam Allah menurunkan al-quran kepada rasulullah s.a.w secara berperingkat selama 23 tahun hingga menjadi lengkap seperti sekarang.
Peristiwa penurunan ayat pertama al-quran kepada rasulullah s.a.w dikenali sebagai nuzul al-quran. Nuzul bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Peristiwa ini berlaku ketika rasulullah s.a.w berumur 41 tahun pada malam Jumaat 17 Ramadhan semasa baginda sedang beribadat di Gua Hira'.
Apakah ayat pertama yang diturunkan oleh Allah kepada rasulullah s.a.w?
Ayat al-quran yang pertama diturunkan adalah 5 ayat daripada surah Al-Alaq. 5 ayat pertama ini diturunkan melalui perantaraan malaikat Jibril. Malaikat Jibril yang mengajar rasulullah s.a.w membaca ayat tersebut.

Berikut adalah surah Al-Alaq ayat 1-5 dan terjemahan:
اِقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِيْ خَلَقَۚ - ١
Arab-latin: Iqra` bismi rabbikallażī khalaq
Artinya: "Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan,"
خَلَقَ الْاِنْسَانَ مِنْ عَلَقٍۚ - ٢
Arab-latin: Khalaqal-insāna min 'alaq
Artinya: "Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah."
اِقْرَأْ وَرَبُّكَ الْاَكْرَمُۙ - ٣
Arab-latin: Iqra` wa rabbukal-akram
Artinya: "Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Mahamulia,"
الَّذِيْ عَلَّمَ بِالْقَلَمِۙ - ٤
Arab-latin: Allażī 'allama bil-qalam
Artinya: "Yang mengajar (manusia) dengan pena"
عَلَّمَ الْاِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْۗ - ٥
Arab-latin: 'Allamal-insāna mā lam ya'lam
Artinya: "Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
Antara mesej penting surah ini adalah Allah perintah manusia untuk membaca tidak kira sama ada dalam bentuk tulisan atau bukan tulisan. Antara contoh bentuk tulisan adalah seperti buku, artikel, kitab dan lain-lain manakala bentuk bukan tulisan seperti baca perwatakan manusia, buat penilaian dan sebagainya.
Amalan membaca memberikan kita ilmu yang boleh diamalkan dalam kehidupan serta menjadikan kita lebih baik di dunia mahu pun akhirat. Namun, ilmu sifatnya mudah hilang. Oleh itu, untuk mengikat ilmu kita perlu mencatat ilmu yang kita pelajari.
Kita juga perlu ingat bahawa ilmu yang kita dapat semuanya daripada Allah bukan usaha kita semata-mata. Tidak dapat dinafikan bahawa ilmu Allah sangat luas dan apa yang dikurniakan kepada kita hanyalah cuma sebahagian kecil sahaja daripada ilmuNya. Kebiasaannya dengan ilmu harta akan bertambah, jawatan akan semakin tinggi, ketaatan akan bertambah dan sudah tentu ilmu itu sendiri akan bertambah. Namun, hindarilah sifat takbur apabila kita mendapat nikmat tersebut kerana semuanya kurniaan Allah tiada satu pun milik kita. Nikmat ini hanya pinjaman kita akan kembalikannya apabila nyawa dicabut suatu hari nanti.

Jika ingin kejar dunia kejarlah dengan ilmu.
Jika ingin kejar akhirat kejarlah dengan ilmu.
Jika ingin kejar kedua-duanya kejarlah dengan ilmu.
Comments