Bagaimana Ramadan Menjadi Saluran Merevolusi Diri?
- 3 Apr 2024
- 2 min membaca
Updated: 16 Mac

"Tanda amal seseorang hamba diterima oleh Allah s.w.t adalah apabila satu perbuatan baik mendorong kepada satu lagi perbuatan yang lebih baik. Sebaliknya, tanda amal seseorang hamba ditolak adalah apabila perbuatan baik disusuli dengan perbuatan dosa. Tidak ada yang menghalang dia daripada melakukan dosa. Manakala tanda taubat seorang hamba diterima adalah apabila dia tidak mengulangi kesalahan lalu dan dia terus menyibukkan diri dengan perbuatan baik".
(Imam Ibn Rajab)
"Tanda solat yang khusyuk adalah apabila ia dapat mencegah perbuaan keji dan mungkar sehingga waktu solat yang seterusnya. Jikalau kamu khusyuk semasa solat subuh maka tempoh antara subuh hingga zohor kamu pasti terhindar daripada perbuatan keji dan jahat, lalu begitulah seterusnya".
(Imam Al-Ghazali)
Begitu juga jikalau Ramadhan yang dilalui adalah satu kejayaan maka tempoh antara Ramadhan sekarang dengan Ramadhan yang akan datang dapat mencegah diri daripada melakukan maksiat. Bulan Ramadhan adalah tempoh untuk melatih diri menjadi manusia baru bagi persiapan menghadapi sebelas bulan berikutnya. Raulullah s.a.w pernah memberi khutbah berkenaan bulan Ramadhan. Antara pengajaran daripada khutbah tersebut adalah seperti di bawah:
Allah memilih Ramadhan sebagai bulan yang agung dan penuh keberkatan
Pahala bagi setiap perbuatan baik digandakan
Bulan kesabaran
Bulan untuk berkongsi
Ada tiga bahagian bulan Ramadhan iaitu 10 hari pertama diturunkan rahmat,10 hari pertengahan diturunkan keampunan dan 20 hari terakhir pembebasan dari api neraka

Bagaimanakah bulan Ramadhan yang singkat dapat menjadikan seseorang bertakwa?
Bulan revolusi untuk perubahan drastik dan tajam
Perintah puasa dapat melatih diri memerangi hawa nafsu
Pada waktu malam mengerjakan solat sunat terawih dapat melatih manusia membiasakan diri berkomunikasi dengan Allah s.w.t
Terjadinya peristiwa nuzul al-quran. Peristiwa ini memberi peluang kepada kita untuk bermuhasabah adakah sepanjang sebelas bulan sebelumnya, peribadi mengikut ajaran al-quran atau sebaliknya.
Diwajibkan untuk mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah membantu membangunkan semula kepekaan sosial dalam diri.
Memanfaatkan Ramadhan dengan aktiviti yang mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan menjauhkan diri daripada aktiviti sia-sia akan menjadikan diri sebagai juara yang sebenar pada hari raya.

Hari Raya merupakan hari kemenangan kerana berjaya...
Mengalahkan nafsu dalam diri
Mengalahkan sifat bakhil dan menerapkan sifat pemurah
Mengalahkan sifat ego dan menggantikannya dengan sifat menyumbang ke arah kebaikan
Mengalahkan hidup yang berdasarkan keiginan dan menjalani hidup berdasarkan keperluan
Mengalahkan sikap individualistik dan menjalani hidup berjemaah
Apabila kita telah mengalami revolusi diri pada bulan Ramadhan dengan menjadi hamba dan khalifah yang lebih baik maka sesungguhnya kita telah mencapai tujuan sebenar bulan Ramadhan iaitu menjadi insan yang bertakwa. Diharapkan sifat takwa yang diraih dapat berkekalan sehingga kita bertemu Ramadhan yang akan datang. Jom! Mula hari ini kita jadi insan yang bertakwa.
Comments