top of page

KENAPA AGAMA TIDAK MAMPU MEMBENTUK DIRI?

  • 22 Apr 2024
  • 3 min membaca

Updated: 26 Mei 2024


 

Pada 14 April 2024 kita dikejutkan dengan satu berita berkenaan seorang lelaki cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di lapangan terbang KLIA. Walau bagaimanapun tembakan tersebut terkena individu lain yang merupakan pengawal peribadi isterinya. Lelaki tersebut telah melarikan diri dan berjaya ditangkap di Kota Bharu, Kelantan ketika ingin mengambil laporan kesihatan di sebuah hospital swasta di sini. Lelaki tersebut merancang untuk melarikan diri ke Mekah melalui Thailand dan ingin bekerja di Arab Saudi apabila berjaya melarikan diri. Motif percubaan membunuh adalah masalah peribadi. Lelaki tersebut lahir di Selangor dan kemudian mendapat pendidikan di sekolah pondok yang terletak di Pasir Mas, Kelantan.


Terdapat sebilangan netizen yang mengecam sekolah pondok kerana melahirkan individu yang bertindak agresif sehingga ingin membunuh. Ada juga yang menyatakan sekolah pondok berpontensi melahirkan ekstremis. Namun, harus kita ingat bahawa sekolah pondok mahu pun sekolah biasa tiada jaminan bahawa pelajarnya bakal menjadi orang yang berguna. Hal ini demikian kerana penerimaan didikan di sekolah oleh setiap individu adalah berbeza antara satu sama lain. Ada yang belajar di sekolah pondok atau agama kerana terpaksa. Jadi kemungkinan apa yang dipelajari oleh individu tersebut sekadar hafalan sahaja bukan untuk dijadikan sebagai amalan dan panduan dalam membentuk diri menjadi manusia yang lebih baik dan bermanfaat untuk masyarakat serta negara.



Pelajar sekolah pondok sedang menjawab soalan ujian atau peperiksaan
Rajah 1: Pelajar sekolah pondok

Hakikatnya, agama Islam merupakan agama yang bersifat menyeluruh. Islam merupakan cara hidup manusia. Ia menjadi panduan kepada manusia untuk menjalani hidup ini dengan sebaik mungkin sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t. Namun, kenapa ramai juga penganutnya melakukan perkara-perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t seperti mencuri, merompak, menipu, membunuh dan lain-lain sedangkan ajaran Islam menganjurkan penganutnya melakukan amar makruf nahi mungkar iaitu lakukan kebaikan dan cegah kemungkaran.


Terdapat pelbagai faktor dan salah satu faktor utamanya adalah pengajaran agama di institusi pendidikan terutama sekolah bersifat akliah semata-mata dengan kata lain ia hanya berkaitan dengan akal fikiran sahaja iaitu pelajar sekadar tahu tentang sesuatu ilmu. Tenaga pengajar hanya mengajar bukan mendidik. Ramai yang boleh mengajar tetapi sebilangan kecil sahaja yang mampu mendidik pelajarnya. Apa perbezaan antara mengajar dan mendidik?

Mengajar

Ajar ilmu kepada pelajar agar pelajar mengetahui tentang ilmu tersebut. Pelajar hanya tahu tetapi tidak menghayati ilmu dan kebanyakannya menghafal ilmu untuk lulus atau cemerlang dalam peperiksaan sahaja.

Mendidik

Apabila pelajar dididik dengan ilmu yang diajarkan maka pelajar bukan sekadar tahu tentang ilmu tersebut bahkan mereka akan memahaminya yang membawa kepada penghayatan dan seterusnya amalan dalam kehidupan.

Seorang anak bersalaman dengan ayah sambil ibunya menunggu gilirannya
Rajah 2: Seorang anak bersalaman dengan ayah

Oleh itu, untuk membentuk diri seperti yang dianjurkan oleh agama Islam maka ia perlu bermula dengan didikan Islam daripada individu yang memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar iaitu ibu bapa dan guru. Mana mungkin seorang pelajar akan mendengar apa yang dikatakan oleh seorang guru jika guru sendiri tidak berperlakuan baik. Sebagai contoh jika guru melarang pelajarnya merokok tetapi dia sendiri merokok adakah pelajarnya akan mematuhi larangan tersebut? Mungkin pelajar tidak merokok di kawasan sekolah kerana ingin mengelak daripada didenda tetapi dia tetap akan merokok apabila berada di luar kawasan sekolah. Jadi masalah merokok di kalangan pelajar tidak akan pernah selesai.



Seorang ustaz sedang mengjar pelajarnya mengaji al-quran di bantu sinaran cahaya pelita pada waktu malam
Rajah 3: Seorang ustaz bersama pelajarnya

Perbuatan orang yang hanya tahu memberi nasihat tetapi diri sendiri tidak melakukan demikian seperti ketam mengajar anaknya berjalan dengan betul. Sama juga dengan ibu bapa yang menyuruh anaknya solat tetapi diri sendiri masih culas dalam mendirikan solat. Kebiasaannya jika ibu bapa tidak solat maka anaknya juga tidak solat bak peribahasa bapak borek anak rintik yang bermaksud segala bentuk, sifat dan perbuatan bapa diwarisi oleh anak. Begitulah betapa pentingnya seorang pendidik yang mesti dirinya dibentuk oleh ilmu agama terlebih dahulu sebelum menyampaikan ilmu kepada anak didiknya.


Jika kita tergolong dalam kumpulan yang tidak mengamalkan Islam secara menyeluruh maka sudah tiba masanya kita perbaiki diri dan berusaha untuk membentuk diri menjadi muslim sejati dengan membina kefahaman dan penghayatan tentang ajaran Islam yang sebenar. Jadilah individu yang boleh dicontohi oleh generasi seterusnya dalam mengejar kejayaan di dunia dan akhirat. Oleh itu, mula hari ini amalkan ilmu yang kita ada terutamanya ilmu agama Islam yang pasti dapat membentuk akhlak yang baik seperti suri tauladan kita rasulullah s.a.w yang terbukti telah berjaya bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat.

Commentaires

Noté 0 étoile sur 5.
Pas encore de note

Ajouter une note
Tulis.jpg

Hai, terima kasih kerana sudi singgah!

Mula Hari Ini menawarkan sumber untuk membantu individu memulakan hari mereka dengan produktif...

Biarkan catatan kami
datang kepada anda

Terima kasih atas langganan anda

  • pet symbol

Hubungi Kami

Terima kasih kerana menghubungi kami!

© 2021 Mula Hari Ini. All rights reserved.

bottom of page